Isnin, 13 Oktober 2014

Pengenalan Takaful Malaysia

Takaful Malaysia 
Industri Takaful Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan yang pesat sejak awal penubuhannya pada tahun 1984. Industri ini telah berkembang daripada industri yang terdiri dari Pengendali Takaful tunggal untuk menjadi industri yang berdaya maju. Hari ini, Takaful merupakan industri yang penting dalam sistem kewangan Islam.
Menurut laporan Bank Negara Malaysia yang terkini, industri Takaful mengalami purata kadar pertumbuhan sebanyak 27 peratus daripada segi sumbangan atau caruman bersih antara tahun 2005 hingga 2012.

Perkataan “Takaful” berasal daripada kata kerja bahasa Arab “kafala” yang bermaksud saling menjamin. Oleh itu, pakatan yang melibatkan sekurang-kurangnya antara dua pihak yang sama-sama bersetuju untuk menjamin satu sama lain sekiranya berlaku kehilangan atau kerugian, sebagai akibat daripada ditimpa bencana mentakrifkan istilah "Takaful".
Menurut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) Takaful bermaksud:
"Suatu pengaturan yang berdasarkan saling membantu di mana peserta Takaful bersetuju untuk menyumbang kepada kumpulan wang bersama yang memberi manfaat kewangan bersama yang boleh dibayar kepada peserta Takaful atau waris mereka apabila berlaku keadaan-keadaan yang telah dipersetujui terlebih dahulu".